Proses pembudayaan
keusahawanan merupakan satu proses jangka panjang dan memerlukan usaha
berterusan. Di negara kita proses pembudayaan keusahawanan telah menjadi satu
tumpuan utama dan ianya telah dimulakan dengan melibatkan golongan pelajar di
peringkat sekolah rendah, menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi serta
masyarakat umum. Memandangkan betapa pentingnya bidang keusahawanan ini dan
juga selaras dengan matlamat kerajaan yang berhasrat menyusun semula masyarakat
perdagangan dan perindustrian bumiputera, maka kerajaan telah merangka strategi
untuk membentuk budaya usahawan yang lebih berkesan dan berstruktur.
Pembudayaan keusahawan
ini dapat dibahagikan kepada program yang berbentuk secara langsung atau tidak
langsung dan dijalankan oleh pelbagai pihak. Pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia telah melaksanakan Program Pembudayaan Keusahawanan melalui kurikulum
sekolah. Beberapa sukatan pelajaran berkaitan dengan keusahawanan seperti Prinsip
Akaun, Perdagangan, Pengajian Perniagaan,
Kemahiran Hidup, Matapelajaran Vokasional,
Ekonomi Asas, Ekonomi Rumahtangga, dan sebagainya telah dibentuk untuk tujuan
berkenaan. (Abdul Said, 2012). Manakala Institut Keusahawanan Negara,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula memperkenalkan Program
Usahawan Muda (PUM) kepada pelajar sekolah menengah. Ia bertujuan memberikan
pendedahan dan pengalaman “hands-on” kepada pelajar sekolah mengenai sistem
operasi dan pembubaran syarikat berdasarkan model koperasi. Ia juga meliputi
Simposium Keusahawanan, Konvensyen PUM dan Kem Keusahawanan [Program Usahawan
Muda (PUM), 2012].
Pembudayaan Keusahawanan
di IPT
Elemen terpenting untuk
memupuk sesuatu budaya itu adalah bermula dari peringkat awal dan ia diterajui
oleh sistem pendidikan negara. Maka tidak hairanlah mengapa kerajaan telah
memperkenalkan unsur amalan keusahawanan dalam kurikulum yang bertujuan
menyemai dan memupuk budaya keusahawanan. Pendidikan formal dalam bidang
keusahawanan melahirkan generasi baharu usahawan yang dapat memajukan usahawan
dan negara. Di dalam Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Tinggi Negara,
Kementerian Pengajian Tinggi, kerajaan berhasrat melihat institusi pengajian
tinggi negara memainkan peranan penting dalam merangsang perubahan negara ke
arah K-ekonomi atau ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam konteks ini, ekonomi
kita haruslah berasaskan kepada inovasi dan bukan lagi berasaskan pelaburan
modal semata-mata. Inovasi adalah merupakan salah satu ciri penting
keusahawanan. Hanya dengan pengetahuan dan inovasi Malaysia mampu bersaing dan
berjaya di arena antarabangsa. Program pembudayaan keusahawanan di kalangan
pelajar pengajian tinggi bermula sejak tahun 1989 melalui Program Pembangunan
Usaha Siswa yang bertujuan mendedahkan golongan siswa kepada asas-asas
keusahawanan menerusi seminar atau bengkel. Program ini terus diperkembangkan
kepada 10 buah IPTA pada tahun 1995. Dua lagi program baru telah perkenalkan
mulai 2001 iaitu Latihan Keusahawanan Siswa yang memberi panduan dari aspek
peluang, kaedah dan perancangan perniagaan serta Kursus Asas Keusahawanan Siswa
yang disasar kepada siswa tahun akhir. Sewaktu berucap di Majlis Perasmian
Karnival Usahawan IPTA di Johor Baharu pada 23 Disember 2004, Dato’ Seri Mohamed
Khaled Nordin yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada
ketika itu memaklumkan hasil pelaksanaan ketiga-tiga program di atas telah
memberi pendedahan dan latihan keusahawanan kepada 37,191 orang mahasiswa.
Sebahagian besarnya diberi pendedahan keusahawanan menerusi Program Pembangunan
Usaha Siswazah iaitu melibatkan seramai 33,035 pelajar, diikuti dengan Latihan
Keusahawanan Siswa seramai 3,215 dan baki 941 orang lagi pelajar mengikuti
Kursus Asas Keusahawanan Siswa. (Mohamed Khaled, 2007).
Pada tahun 2004 satu
lagi program keusahawanan turut diperkenalkan di kampus iaitu ‘Student In Free
Enterprise’ atau SIFE1. Program ini telah membuka peluang kepada
pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi untuk menyertai pertandingan keusahawanan
pelajar di peringkat antarabangsa. Persada ini mengaktifkan golongan siswa
untuk berfikir secara global dalam usaha untuk menerobos pasaran yang lebih
besar dan berpeluang menikmati kekayaan yang terdapat di peringkat dunia.
Menerusi program SIFE mahasiswa dilatih untuk merancang dan mengendalikan
aktiviti yang memiliki elemen keusahawanan yang diuruskan secara berkumpulan.
Program ini dilaksana untuk satu jangkamasa tertentu dan yang lebih pentingnya
adalah kumpulan mahasiswa tersebut berpeluang berurusan dan membina rangkaian
kerjasama dengan sektor korporat. Program ini seterusnya diperkasakan menerusi
geran daripada yayasan atau pihak swasta.
Beberapa anugerah juga
telah diperkenalkan seperti anugerah etika keusahawanan yang tinggi dan
anugerah kepada syarikat yang berjaya menghasilkan pelan penjimatan kos
perniagaan. SIFE juga mempertingkatkan keberkesanan program 'intership’,
menawarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar yang menang dan 'special attachment’
selama beberapa bulan di universiti luar negara di mana pelajar-pelajar
tersebut berkongsi pengalaman bersama usahawan yang berjaya sebagai mentor.
Senario ini merupakan sesuatu yang amat bernilai untuk mereka membina
'networking’ bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan rakan-rakan
'internship’ dari negara lain yang mengikuti program tersebut (Mohamed Khaled,
2007).
Pembudayaan keusahawanan di kalangan belia
Program pembangunan
keusahawanan dilaksanakan bagi memupuk potensi keusahawanan di kalangan belia
dan untuk membolehkan mereka menyertai perniagaan secara aktif serta
menggalakkan mereka bekerja sendiri. Bagi mencapai tujuan ini, Majlis Amanah
Rakyat dan institusi latihan seperti Institut Keusahawanan Belia Negara
menganjurkan latihan, seminar dan kursus jangka pendek serta menyediakan
khidmat nasihat kepada usahawan muda dan baru. Dalam tempoh Rancangan, seramai
79,740 belia di peringkat negeri dan daerah mendapat manfaat daripada program
ini.
Langkah telah diambil
bagi memupuk semangat dan budaya keusahawanan di kalangan pelajar di sekolah
dan institusi pendidikan tinggi. Program Usahawan Muda yang melibatkan
penubuhan Kedai Koperasi dilaksanakan di sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG). Aktiviti kokurikulum yang menggabungkan unsur
keusahawanan juga dilaksanakan. Di bawah Program Pembangunan Usahasiswa,
seramai 32,470 penuntut di institusi pendidikan tinggi awam telah menyertai
pelbagai aktiviti perniagaan seperti Kelab Keusahawanan Desasiswa dan Pasar
Pelajar.
Menyedari bahawa
penggunaan ICT boleh meningkatkan produktiviti, pelbagai usaha telah diambil
bagi menggalak usahawan muda menggunakan lebih banyak aplikasi berintensifkan
pengetahuan dalam perniagaan mereka. Sehubungan ini, Program Pembangunan
Usahawan Belia ICT dianjurkan dalam tempoh Rancangan dan telah memberi manfaat
kepada 25,710 belia. Dalam program ini, kursus celik komputer, perisian dan
pensijilan sains komputer serta seminar mengenai pembangunan keusahawanan telah
dianjurkan bagi membangun dan meningkatkan pengetahuan serta kefahaman tentang
aplikasi ICT di kalangan usahawan muda.
No comments:
Post a Comment