Friday, 29 September 2017

Bagaimana Memupuk Budaya Keusahawanan


Pembudayaan keusahawanan merupakan satu proses pembangunan sikap dan personaliti usahawan agar cintakan kejayaan dan kecemerlangan dalam setiap usaha yang dilakukan. Melalui proses pembudayaan ini membolehkan usahawan bertindak selaras dengan tuntutan moral, etika dan akhlak agar kesan daripada aktiviti yang dilakukan akan mendatangkan kesejahteraan kepada diri sendiri dan masyarakat pada masa kini atau akan datang. 


Antara perkara-perkara yang perlu diberikan penumpuan dalam membangunkan budaya keusahawanan adalah mengawal halatuju masing-masing. Setiap perniagaan yang diceburi oleh usahawan akan sentiasa mengalami ketidakstabilan, perubahan dan terdedah kepada ancaman dalaman atau luaran. Keadaan ini memerlukan usahawan menyelia, melaksana dan mengawal halatuju perniagaan yang diceburi agar terus berkembang. Halatuju perniagaan yang jelas akan membolehkan usahawan menyusun strategi untuk terus memajukan perniagaan. Usahawan perlu mempunyai pemikiran yang mampu memfokus kepada masa depan dengan merancang strategi-strategi yang paling sesuai bagi memajukan perniagaannya. 

Seterusnya, memaksimumkan potensi diri. Usahawan tidak boleh berpuashati dengan apa yang dicapai setakat hari ini sahaja. Mereka perlu meneruskan dan memaksimumkan usaha, kemahiran dan kemampuan diri bagi menjamin kelangsungan perniagaan yang diceburi. Mereka perlu sentiasa membuat analisis pemasaran produk, kekuatan pesaing dan melihat permasalahan, peluang serta sebarang perubahan secara holistik. Selain itu, mereka mesti sentiasa bersedia berhadapan dengan sebarang risiko dan juga ketidakpastian serta tahu tentang strategi dan taktik untuk menanganinya dan menjadikan sesuatu risiko dan ancaman itu sebagai satu peluang yang boleh menguntungkan. 

Aspek mendapat keuntungan juga memainkan peranan dalam memupuk budaya keusahawanan. Walaupun keuntungan tidaklah semestinya menjadi objektif utama perniagaan tetapi ia tetap menjadi kayu pengukur kejayaan seseorang usahawan. Keuntungan yang dicapai melambangkan kejayaan sesebuah syarikat kerana dengan keuntungan yang diperolehi membolehkan sesebuah syarikat itu mengembangkan lagi perniagaannya, mengaplikasikan teknologi terkini dalam pengeluaran dan operasi perniagaan dan membolehkannya membuat promosi yang lebih agresif lagi. Keuntungan juga boleh meningkatkan keyakinan pekerja terhadap syarikat kerana mereka tahu sebahagian daripada keuntungan yang diperolehi akan dipulangkan kepada mereka sama ada dalam bentuk dividen, bonus atau kenaikan gaji tahunan. Ia juga boleh meningkatkan keyakinan pembekal dan kreditor bahawa syarikat mampu membayar pinjaman dan kredit yang diberikan kepada mareka. Keuntungan yang diperolehi akan meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap syarikat kerana mereka yakin syarikat bersedia untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan memberi pulangan yang menguntungkan keatas pelaburan yang dilakukan.
Tambahan lagi, berorientasikan perancangan. Perancangan merupakan satu aspek yang penting bagi seseorang usahawan dalam menyusun strategi perniagaan agar mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Usahawan mestilah sentiasa memfokuskan kepada masa hadapan dan sensitif terhadap sebarang perubahan yang berlaku. Usahawan tidak sepatutnya gelojoh atau mengambil masa yang lama untuk merebut peluang. Usahawan bukanlah seorang yang pakar dalam semua aspek maka mereka perlu melibatkan pihak yang mempunyai kepakaran dalam membuat keputusan yang diluar kemahiran yang dimiliki. Langkah berhati-hati membantu usahawan merancang masa depan dan perniagaanya dengan baik dan sistematik. Perancangan yang dibuat mestilah tidak terlalu panjang kerana ketidak pastian saiz pasaran yang mungkin berubah mengikut peredaran masa. 

Usahawan harus menggunakan masa secara strategik. Pengurusan masa adalah amat penting bagi menjamin kejayaan seseorang usahawan. Pengurusan masa mestilah dilakukan secara strategik iaitu dengan memastikan setiap masa disusuli dengan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan perkembangan syarikat. 

Inovatif turut penting membangunkan budaya keusahawanan. Komitmen terhadap inovasi perlu dipupuk dan dibaja dalam diri usahawan. Usahawan yang inovatif lagi kreatif akan memiliki kecenderungan untuk menggunakan imaginasi bagi mengesan serta merebut peluang, mengambil faedah daripada cabaran dan permasalahan yang dihadapi untuk memastikan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.Pembudayaan inovasi dalam penyelesaian masalah akan mengelakkan usahawan daripada bersikap pasif, defensif dan terlalu yakin dengan kejayaan semasa. Pembudayaan inovasi juga akan membolehkan syarikat terus mengembangkan saiz pasaran, memodifikasikan produk dan proaktif terhadap tuntutan semasa pelanggan. 

Selain itu, meningkatkan kualiti kerja secara berterusan. Penghasilan produk dan perkhidmatan yang bermutu tinggi secara berterusan akan dapat menjamin kesetiaan, komitmen dan kepuasan pelanggan. Seterusnya akan memberikan keuntungan kepada usahawan. Nilai kualiti yang tinggi akan memberikan pulangan yang menguntungkan melalui kesetiaan pelanggan. Oleh itu, usahawan perlu berusaha untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Teknologi merupakan satu mekanisma yang dapat membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran sesuatu produk. Oleh itu para usahawan juga perlu prihatin terhadap penggunaan teknologi kerana ia menyumbang ke arah pembuatan dan teknik reka bentuk yang lebih cekap dan tingkat daya pengeluaran yang lebih tinggi. 

Di samping itu, kesediaan untuk merebut peluang. Peluang-peluang perniagaan perlu dicari, dikenalpasti dan dieksploitasi sendiri oleh usahawan. Oleh itu, seseorang usahawan itu perlulah memaksimumkan kekuatan daya berfikir dengan mencari jalan penyelesaian sebarang masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan mengeksploitasikannya dengan menjadikan masalah-masalah tersebut sebagai peluang perniagaan. Justeru, usahawan perlulah meningkatkan pengetahuan dengan mengambil manfaat daripada pergaulan hariannya, memberikan perhatian terhadap pendapat-pendapat pekerja, pelanggan atau pesaing, meningkatkan pembacaan dan mengenalpasti kemahiran, kebolehan dan potensi yang ada pada diri sendiri.

No comments:

Post a Comment